Sunday 11 January 2015

CABARAN DI BUMI AL-AZHAR..

     Realiti tidak seindah imaginasi dan kehendak hati. Apa yang kita rancang akhirnya tetap jua Allah yang menentukan. Aku penuntut di Universiti Al-Azhar As-Syarif yang penuh misteri dan keajaiban, hari-hari yang dilalui penuh dengan suka dan duka, Al-Azhar dan bumi Mesir banyak mengajar aku erti sabar dan berdikari, erti usaha dan tawakkal, erti hidup pada berkongsi.


     Suatu ketika dahulu aku antara mereka yang memandang sinis kepada mereka yang menuntut di Al-Azhar kerana ada diantara mereka yang bertahun-tahun, tetapi masih belum mampu untuk menghabiskan pengajian dalam waktu yang singkat, iaitu kebiasaan adalah 4 tahun. Namun, bila kaki ini nyata berpijak di bumi yang dikata dan dipandang sinis itu. Baru aku sedar realiti dan kepayahan serta cabaran belajar dibumi sumpahan ini.

     Adat orang berusaha akan berjaya, namun teori dan adat itu tidak boleh diguna seratus peratus disini. Kerana sudah ramai yang merasai dan peritnya hakikat kegagalan walau telah berusaha sehabis daya. Yang gagal kerana malas itu memang patut dipersalahkan, tetapi jangan menghukum mereka yang gagal. Kerana rata-rata akan mengata gagal sebab malas dan tidak ke kuliah, hakikatnya qualiti yang Al-Azhar tetapkan terlalu tinggi.

     Ditempat lain atau di universiti lain, mereka menggunakan sistem repeat paper, atau ulangan untuk menduduki peperiksaan semula bagi subjek yang gagal. Di Jordan, sistemnya hampir sama dengan di Malaysia iaitu menggunakan jam kredit dan kita boleh pilih subjek mana yang kita ingin ambil untuk setiap semester. Aku difahamkan jika di UIAM, pelajar boleh repeat sampai lulus subjek yang gagal, dengan syarat pointer tidak kurang daripada yang ditetapkan. Tetapi di Al-Azhar, setiap semester tidak ada pilihan, wajib ambil setiap subjek yang telah ditetapkan untuk setiap semester. Jika 12 subjek, maka 12 itulah yang perlu diambil, jika 16, itulah subjeknya, dan keputusan mestilah tidak gagal lebih daripada 2 subjek, jika minima 3 subjek daripada keseluruhan (minima biasanya 12 subjek) gagal, 3 subjek itulah yang akan ulang setahun akan datang. tidak ada repeat paper, yang ada hanya repeat year.

     Walaupun kadangkala terasa peritnya, namun di akhirnya akan manis dan hebatnya tarbiyyah di bumi Al-Azhar. Belum lagi dengan cabaran-cabaran lain seperti kerenah birokrasi, bahasa, cuaca dan persekitaran disini. Namun, itulah nilai yang perlu dibayar untuk segudang ilmu yang ingin kita selami.

     Apa yang dapat disimpulkan, bumi Mesir tidak akan pernah sama dan tidak akan ada di tempat lain. Baik dari segi sistemnya, suasana dan cabarannya. Hanya mereka yang pernah berada disini layak untuk berbicara tentangnya.

No comments:

Post a Comment